~Kenang nostalgia tok mudim~

Satu ketika dulu di kampung jika di­sebut saja nama ‘tok mudim’, pasti ia akan mengundang perasaan gementar dalam kalangan kanak-kanak lelaki terutama ketika musim cuti persekolahan.
Ini kerana, khidmat tok mudim diperlukan oleh ibu bapa untuk anak lelaki mereka dikhatankan. Namun, kini doktor lebih memainkan peranan sebagai tok mudim era baru untuk tujuan berkhatan manakala kerjaya tok mudim terus berkubur.
Justeru, menyedari tradisi lama adat Melayu ini makin dilupakan, produksi Showbiz di bawah KRU Studios tampil menerbitkan sebuah filem komedi seram, Hantu Tok Mudim yang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 21 November nanti.

Mempertaruhkan genre lawak, pengarahnya Waan Hafiz Wan Husain berkata, dia teruja dan seronok menghasilkan filem ini kerana mengangkat kembali kegemilangan adat dan tradisi berkhatan dalam masyarakat Melayu.

Foto
 ANTARA babak menarik dalam filem Hantu Tok Mudim terbitan Showbiz.

 

                     
Foto
              IZZUE dan Adrea bergandingan sebagai teraju utama filem Hantu Tok Mudim.


Menurutnya, walaupun sekarang proses berkhatan sudah menjurus ke arah penggunaan peralatan teknologi terkini, tradisi dan adat Melayu lama jangan sesekali dilupakan.

“Apa yang cuba saya tonjolkan dalam filem Hantu Tok Mudim ini adalah tradisi dan adat masyarakat Melayu dulu terutama mereka yang tinggal di kawasan kampung yang lebih kenal dan tahu mengenai peranan seorang tok mudim.

“Masih saya ingat lagi, cerita dikongsi orang-orang lama dulu yang mungkin sebaya dengan ibu bapa kita, betapa takutnya mereka sebaik saja mendengar nama tok mudim.

“Apatah lagi, kemunculan tok mudim ha­nya untuk acara berkhatan kanak-kanak lelaki. Bahkan, sebelum acara berkhatan yang selalunya secara beramai-ramai itu berlangsung, ada beberapa adat dilakukan,” katanya ketika ditemui di KRU Studios, Cyberjaya baru-baru ini.

Menurut Waan Hafiz lagi, antara adatnya seperti kanak kanak lelaki berarak ke seluruh kampung dan dimandikan sebelum dikhatankan tok mudim.

“Bagaimanapun, sekarang suasana sudah jauh berubah dan tradisi ini makin dilupakan. Justeru, kini saya mahu membangkitkan semula tradisi lama ini untuk pengetahuan generasi baru.

“Malah, pada masa sama orang ramai menonton filem ini juga akan berpeluang mengenang kembali tradisi lama yang semakin terhakis. Dalam soal ini, saya tidak mahu hanya menyogok elemen hiburan semata-mata,” katanya.

Menganggap penghasilan filem komedi satu cabaran besar kepadanya, Waan Hafiz berkata, walaupun penonton mahukan hiburan tetapi sesuatu yang mempunyai isi atau memberi pengajaran perlu juga dimuatkan untuk tontonan masyarakat.

“Apatah lagi, proses berkhatan menggunakan khidmat tok mudim ini mungkin sudah lama dilupakan biar pun ia adalah tradisi masyarakat Melayu dulu. Justeru, bagi memastikan suasa sebenar ini wujud, saya memilih lokasi kampung di Seri Menanti, Negeri Sembilan untuk lokasi penggambaran filem ini,” katanya.

Hantu Tok Mudim dibarisi pelakon seperti Izzue Islam sebagai Borhan/ Wuwu, Soffi Jikan (Lebai Kulop), Adrea Abdullah (Salmah/ Wiwi), A R Badul ( Tok Penghulu Abohrudin) dan Harun Salim Bachik.


Penangan cinta tiga segi

Ia mengisahkan Tok Mudim terhebat di Kampung Seri Menawan. Pun begitu, kehebatan beliau tercalar kerana pena­ngan cinta tiga segi antara pembantunya, Lebai Kulup, Salmah (dara pujaan) dan Borhan (anak manja Tok Penghulu Abohrudin) yang mempunyai rahsia peribadi.

Bahkan, demi cinta­nya Borhan membuat keputusan mahu berdepan de­ngan fobia lampaunya bertemu dengan Tok Mudim dengan ditemani bapanya untuk operasi rahsia mereka.

Bagaimanapun, Lebai Kulup yang selama ini tidak berpuas hati dengan Borhan mencuri dengar perbincangan rahsia itu dan merancang untuk mensabotaj operasi malam berkenaan.

Malam dinantikan tiba dan kehebatan Tok Mudim teruji dengan tingkah laku luar biasa Borhan. Justeru, kegagalan operasi malam itu mengakibatkan Tok Mudim menjadi buruan penduduk Kampung Seri Menawan.

Tok Mudim melarikan diri ke dalam hutan sehingga menyebabkan dia jatuh ke dalam perigi. Apakah yang berlaku kepada Tok Mudim? Apakah dia masih hidup atau sebaliknya?

Oleh itu, bermulalah tragedi ngeri yang menghantui penduduk Kampung Seri Menawan apabila hantu Tok Mudim tiba-tiba muncul untuk membalas dendam. Apakah sebenarnya yang berlaku.






:::SUMBER:::

Post a Comment

1 Comments

Ini adalah blog peribadi.Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri ,tidak melibatkan mana mana pihak kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya.Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog. Tuan punya blog tidak teragak agak mengambil tindakan undang undang jika hak persendirian ini dicabuli.Terima Kasih juga kerana sudi tinggalkan komen di entri ini. Sila berikan komen yang berhemah. Sebagai penulis saya tidak bertanggungjawab terhadap setiap komen yang ditulis. Sebarang LINK AKTIF akan di buang secara automatik. Harap maklum.
Terima Kasih ..